Zon selesa: Pembunuh potensi belia

Gambar seorang pelajar penakut yang telah memaksa dirinya berucap di khalayak orang ramai. 

Manusia dan rasa selesa tidak ubah bagaikan isi dengan kuku, kedua-duanya sangatlah karib. Malahan, berapa kerat sahajalah bilangan manusia yang sanggup meninggalkan zon selesa mereka dan melalui kepayahan serta kegetiran dengan sukarela. Walhal, cubaan serta halangan itulah pada hakikatnya yang akan merangsang penambahbaikan diri mereka. 

Kenapa manusia begitu cenderung kepada rasa selesa sehingga ke tahap mereka menjadi ketagih terhadap perasaan tersebut? Jawapan mudahnya ialah zon atau rasa selesa ialah sesuatu yang membuatkan manusia berasa selamat kerana mereka tahu dan faham dengan mendalam akan hakikat sesuatu perkara yang memberi mereka keselesaan itu. 

Sebagai contoh, kenapa seorang jejaka bujang perlu mengambil risiko menjadi imam solat fardu buat keluarganya sekiranya nanti dia akan digelakkan kerana suaranya yang kurang merdu memimpin bacaan solat atau tajwidnya yang tunggang-langgang? Pastinya ia lebih mudah bagi jejaka bujang tersebut untuk membiarkan sahaja bapanya yang lebih berusia terus menjadi imam solat fardu buat seisi keluarga. 

Jejaka bujang di dalam contoh tersebut telah membuat percaturan yang membantutkan pertumbuhan dan penambahbaikan kemahiran dirinya sebagai seorang imam muda. Hakikatnya, dengan menjadi imam fardu solat seisi keluarga akan melatih kemahiran kepimpinan serta pemupukan sifat berani di dalam diri jejaka tersebut. Alangkah sayangnya peluang yang telah disia-siakan pemuda itu.

Ketakutan untuk melangkah keluar daripada zon selesa sangatlah umum dalam kalangan kebanyakan remaja dan belia pada hari ini. Hal ini tersangatlah benar terutama buat mereka yang merupakan pelajar yang rendah dan sederhana pencapaian akademik dan kokurikulumnya. 

Kebanyakan masa, para pelajar yang mempunyai mentaliti sebegini akan membiarkan bakat terpendam mereka terbazir begitu sahaja disebabkan oleh rasa rendah diri melampau mereka dan tidak yakin terhadap kekuatan sendiri. Di peringkat pengajian universiti pula, pelajar yang mempunyai mentaliti sebegini akan menambahkan lagi bilangan pelajar 3K (katil, kafe, dan kuliah). 

Bukanlah niat saya hendak mencemuh pelajar yang mempunyai mentaliti 3K sebegini, Namun saya berpendapat, mereka yang memahatkan fikrah sebegini ke dalam otak mereka secara tidak langsung adalah golongan yang hidup dengan mendaulatkan diri sendiri. Cara berfikir mereka menampakkan mereka hanya peduli akan diri sendiri dan terlupa bahawa mereka ialah ahli masyarakat yang mempunyai peranan tersendiri yang perlu dijalankan. 

Sebagai seorang belia, lebih-lebih lagi belia yang sedang menjalani pendidikan Ijazah Sarjana Muda, kita tidak seharusnya membiarkan fikrah individualistik menguasai setiap satu tindak-tanduk kita. Kita harus berfikir di luar kotak, bertindak di luar skop kepentingan diri kita sendiri. Hal ini terutamanya kerana, kita adalah pelapis yang akan memimpin dan membentuk generasi baru nanti. 

Marilah kita hayati dan contohi perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dalam menyebarkan risalah dan wahyu Allah kepada sekalian alam. Tak terkira cabaran, dugaan, dan kesukaran yang mereka telah hadapi demi menyebarkan kalimah tauhid dan menegakkan syiar Islam di atas muka bumi ini. 

Bagaimana hendak meninggalkan zon selesa? 

Semenjak kecil, saya merupakan seorang yang penakut. Punyalah penakut sehingga ke tahap saya akan menangis kalau bercakap dengan guru, walaupun guru tersebut tidak menaikkan suara pun, bahkan beliau berbicara dengan nada biasa sahaja. Ketakutan bercakap dengan orang ini kekal di dalam diri saya sehinggalah ke usia remaja. 

Saya sangat selesa menjadi ‘halimunan’ di dalam kelas. Tidak diganggu oleh sesiapa, tidak dikacau mahupun dibenci mana-mana rakan sekelas, dan tidak menyerlahkan serta mendedahkan sebarang kemahiran berpotensi yang ada pada saya kepada sesiapa. Sepanjang tingkatan satu hingga ke tingkatan tiga, saya kekal begitu kerana itu zon selesa saya. 

Tatkala memasuki tingkatan empat, saya semakin banyak membaca dan pengetahuan yang berkepul-kepul di dalam minda saya meronta-ronta ingin dimuntahkan dan dikongsi walau hanya sedikit dengan rakan-rakan sekelas. Tambahan, saya mula digamit rasa ingin tahu apa perasaannya bila orang memberi sepenuh perhatian untuk mendengar apa yang kita cakapkan.

Pada satu hari, guru mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah saya telah mengadakan sesi forum santai untuk kelas saya dan meminta beberapa orang pelajar menawarkan diri menjadi moderator dan ahli panel. Entah apa yang merasuki saya ketika itu agaknya, saya telah mengangkat tangan dengan debaran menggila di dada. Saya telah sukarela menawarkan diri menjadi ahli panel forum santai tersebut. 

Apabila tiba giliran saya untuk menyampaikan perkongsian di dalam forum tersebut, saya dapat rasakan jantung saya seolah-olah hendak melompat keluar daripada jasad. Tambahan, suara saya ada menggeletar di beberapa tempat ketika menyampaikan. Namun dalam ketakutan yang mencengkam kuat itu, saya paksa diri saya menghabiskan ucapan. 

Selesai giliran saya, rakan-rakan sekelas semuanya memberi tepukan gemuruh. Barangkali mereka kagum kerana tak menyangka saya boleh bercakap petah sebegitu atau mungkin juga mereka terkejut kerana itu pertama kali mereka mendengar saya bercakap sepanjang kami menjadi rakan sekelas. 

Rentetan daripada peristiwa itu, saya akhirnya belajar sedikit sebanyak bagaimana cara yang berkesan untuk saya meninggalkan zon selesa. Saya mula faham bahawa potensi diri saya tidak dapat dikembangkan dan ditambahbaik apabila saya membiarkan ketakutan terlalu menguasai diri dan berfikir terlalu banyak akan risiko dan kejadian memalukan yang bakal berlaku nanti. 

Hanya apabila saya berjaya menyingkirkan kedua-dua perkara tersebut dan mengurangkan kesannya terhadap tindak-tanduk saya, barulah saya berjaya untuk keluar daripada zon selesa yang melindungi saya daripada sebarang kemungkinan dan ketakutan yang saya selalunya elakkan. 

Ummah memerlukan pemuda yang berani! 

Aiman Azlan telah mencatatkan di dalam buku beliau yang bertajuk ‘Unshakeable’ bahawa para pemuda dan pemudi hari ini kebanyakannya mempunyai masalah keyakinan diri yang rendah. Tahap keyakinan diri yang tidak seberapa itu telah menyebabkan mereka kekal tersembunyi daripada menzahirkan kebolehan diri. 

Salah satu perkara yang mendorong kepada rendah keyakinan diri dalam kalangan pemuda pemudi ini ialah perasaan takut. Ada yang takut dicerca jika mereka tersilap bicara, ada yang takut dinilai dan dihakimi orang, dan ada juga yang takut akan apa yang difikirkan oleh orang ramai terhadap diri mereka. 

Ketakutan ini hakikatnya tidak terhad hanya kepada dunia fizikal semata-mata, ia bahkan merangkumi dunia maya. Saya sendiri sebagai contoh mempunyai rasa takut hendak mendedahkan diri dan berkongsi pengetahuan serta pandangan di dalam alam maya.

Kadangkala, saya berfikiran apa gunanya berkongsi kalau pada akhirnya tiada siapa yang peduli. 

Sebenarnya, ini satu kedangkalan dalam cara berfikir. Perkongsian perkara yang bermanfaat kepada ummah tidak seharusnya dihalang oleh ketidakpedulian orang ramai terhadap perkongsian kita itu. Kepedulian orang ramai tidak sepatutnya kita jadikan kayu ukur dalam menilai perkongsian kita itu sia-sia atau bermanfaat. 

Dalam zaman pandemik sebegini, wadah digital selayaknya menjadi pilihan terbaik bagi para belia yang ingin perlahan-lahan meninggalkan zon selesa masing-masing. Mereka yang dihambat ketakutan mendedahkan diri pada perhatian umum bolehlah membiasakan diri menerima perhatian daripada pengguna media sosial terlebih dahulu sebelum beraksi di dunia fizikal nanti. 

Suka saya hendak ingatkan mereka yang sebaya saya bahawa ketakutan itu bukan bersifat mutlak. Ia boleh dikawal dengan syarat kita mempunyai kemahuan yang cukup kuat untuk tidak membiarkannya membantutkan potensi diri kita dan seterusnya mengembangkan kemahiran yang kita ada. 

Golongan pemuda adalah harapan agama. Kita yang masih muda usianya mempunyai masa dan tenaga yang boleh kita laburkan untuk menerajui gerak dakwah Islamiah dan menyebarkan agama kita dengan lebih luas. Bagaimana kita mahu menyampaikan walau satu ayat daripada Rasulullah SAW sekiranya kita semudah itu dikalahkan oleh perasaan takut dan rendah keyakinan? 

Saya akhiri penulisan ini dengan kata-kata yang masyhur daripada Dr Yusuf al-Qardhawi, “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.” 

Sekian, terima kasih.

By: Nurhanis Afifah 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *