Strategi Memperkasakan Industri Sukan

Industri sukan hari ini bukan suatu yang berkait dengan sukan semata namun ia adalah
sebuah industri yang sedang berkembang dengan sangat laju mengikut arus pemodenan negara dan
juga negara. Dulu sebut saja soal sukan orang akan menggambarkan tentang aktiviti riadah dan
bermain bola, badminton dan banyak lagi sukan popular. Saat ini sukan bukan lagi berkait rapat
tentang aktiviti sahaja namun ia juga melibatkan soal pengurusan, sains sukan, penyiaran, komuniti
dan banyak lagi. Dalam Visi Sukan Negara 2030 (VSN30) ada tertera salah satu matlamat untuk
membudayakan sukan serta memperkasakan sektor sukan ini. Impian untuk bergelar sebagai salah
satu hab sukan dunia dalam masa sedekad ke depan.
Strategi untuk memperkasakan industri sukan harus bermula dengan merakyatkan dan
membudayakan industri sukan itu sendiri. Hal ini tidak tercapai andai kemudahan sukan awam tidak
disediakan dan diselenggarakan dengan baik secara berkala. Ini menjadi tunjang dengan
menyediakan akses yang kepada kemudahan-kemudahan ini. Seharusnya ada sistem yang
memudahkan untuk pengguna melakukan tempahan ataupun melakukan aduan tentang kerosakan
yang ada. Sistem ini akan memberikan akses yang lebih luas dan mudah yang dibangunkan berkait
dengan kemudahan sukan rakyat.
Berbicara tentang membudayakan serta merakyatkan sukan itu sendiri haruslah kita
menyantuni pelbagai lapisan masyarakat dengan seadilnya. Menggalakkan untuk masyarakat yang
inklusif untuk terlibat sama. Hari ini kita melihat makin ramai anak muda yang terlibat namun
bagaimana dengan anak-anak istimewa seperti golongan OKU yang tidak disediakan tempat khas
untuk mereka beriadah. Sedangkan orang kita ini tempat parkiran OKU pun disebat dan apabila
sudah tertangkap pandai pula berlakon menjadi si buta. Selain golongan OKU, penglibatan golongan
wanita juga dikatakan masih lagi berkurangan. Bagi kalangan wanita untuk bersenam di tempat
awam mungkin akan menimbulkan rasa malu dan ketidaksenangan kerana akan diperhatikan. Jika
kerajaan boleh menyediakan satu gerabak khas untuk LRT dan monerail untuk kaum hawa mengapa
tidak sediakan tempat khas untuk kaum perempuan dan golongan OKU untuk bersenam mahupun
beriadah. Mungkin akan kebaikan dan keburukan di sebalik cadangan ini namun pasti ia disambut
baik oleh orang ramai.
Selain itu dalam misi untuk memperkasakan industri sukan tidak adil jika tiada penglibatan
dari komuniti setempat. Pengurusan dan pentadbiran komuniti, taman perumahan juga harus
mainkan peranan dengan mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat setempat.
menunjukkan contoh teladan dan “role model” dalam penggayaan cara hidup yang sihat. Mungkin
juga komuniti setempat boleh melakukan pertandingan sukan antara ahli kariah setempat seperti
sukan boling, futsal, bola tampar secara berkala. Selain dapat menarik golongan yang bukan
daripada ahli surau mahupun masjid, ia dapat menyantuni pelbagai jenis lapisan masyarakat serta
mengeratkan lagi tali perpaduan dan silaturahim yang ada.
Tambahan pula, dalam membangunkan industri sukan itu haruslah menambah baik
ekosistem industri sukan itu sendiri. Saat dunia yang di landa dengan wabak Covid-19 harus kita
ingatkan ramai pengusaha sukan yang sudah gulung tikar dek hilang punca pendapatan utama.
Kerajaan harus mainkan peranan untuk menarik minat untuk mengembangkan dan mempromosikan
perniagaan yang berasaskan sukan ini. Harusnya ada pada masa kini kerajaan mewujudkan satu
pameran untuk produk dan perniagaan berasaskan sukan ini. Pentingnya untuk masyarakat untuk
sedar akan kewujudan produk dan perkhidmatan berasaskan sukan ini. Tidak lupa juga penganjuran

pertandingan sukan di peringkat tempatan seperti komuniti, daerah dan negeri untuk memberi
ruang kepada pelabur dan pengusaha ini memasarkan lagi perniagaan mereka.
Pelancongan sukan juga antara yang baharu di negara ini. Di negara luar mungkin
pelancongan sukan bukan suatu yang asing lagi namun untuk negara ini, ia masih baharu lagi untuk
perkenalkan. Dengan e-sukan yang kian popular di negara ini sepatutnya kerajaan sudah ada
perancangan untuk menganjurkan pertandingan e-sukan dengan bantuan dan tajaan dari pihak
swasta yang berminat untuk terjun dalam bidang ini. Di samping dapat menarik perhatian dari
pasukan-pasukan gergasi dunia, ia juga dapat memberi satu promosi tentang kebudayaan negara ini.
Seterusnya ia membantu penggiat pelancongan untuk mempromosi pusat pelancongan dan
hospitaliti yang disediakan. Jelas sekiranya penganjuran-penganjuran sukan-sukan yang bersifat dan
berstatus antarabangsa pasti ada lebih ramai pelabur asing untuk melabur untuk membina dan
meluas pasaran mereka di negara ini. Keyakinan para pelabur dapat ditingkatkan dengan adanya
lebih banyak prasarana dan kemudahan sukan yang bersifat antarabangsa.
Sebagai kesimpulannya, usaha yang untuk menjadikan sukan itu satu budaya dan impian
untuk bergelar hab sukan dunia bukanlah satu tanggungjawab satu pihak sahaja. Pelbagai peranan
yang harus diambil oleh pihak-pihak yang berwajib dalam merealisasikan impian VSN30. Harus
disedari yang impian sedekad ini bukanlah harus bermula lima tahun yang ke depan namun harus
bermula hari ni juga. Perancangan yang rapi harus ada demi tiada kelompangan yang besar kelak
serta tidak tergantung begitu saja. Mungkin kerajaan akan berubah-berubah kelak namun dasar dan
visi harus dikekalkan sebaiknya. Graduan juga harus berani untuk memecahkan tradisi dan amalan
yang ada agar ada perkembangan yang baik dalam sektor sukan dengan menjadi “policy makers”
yang baik. Sektor sukan bukan satu industri yang harus dipandang sebelah mata hari ini kerana ia
sektor yang sentiasa berkembang mengikut arus perubahan dunia moden ini.

By:  Ashraf Idzham

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *