Melawan persepsi graduan terlalu memilih

Hari-hari mendatang pasca-Covid-19 tidak menjanjikan pelangi selepas hujan kepada para graduan.

Pengecilan organisasi bermaksud pengurangan tenaga kerja dan akan menyaksikan sejumlah pekerja perlu ditamatkan perkhidmatan. Lebih-lebih lagi, graduan yang belum bekerja dijangka akan berdepan tempoh pengangguran yang lebih lama daripada biasa.

Situasi ini dinyatakan bukanlah untuk memomokkan kehidupan graduan. Namun begitu, realiti ini merupakan sebahagian daripada hakikat yang perlu kita depani dan atasi BERSAMA.

Kadar pengangguran pada keseluruhan tahun 2020 dijangka akan meningkat kepada 5.5 peratus pada keseleruhuhan 2020 yang akan memberikan kesan kepada hampir 860,000 rakyat Malaysia.

Melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), agenda kebolehpasaran graduan merupakan salah satu teras yang diberikan keutamaan. Kerajaan akan menyediakan peruntukan kepada majikan untuk menyediakan peluang perantis kepada lepasan universiti dengan kadar RM600 sebulan.

Dalam usaha mengayakan kemahiran graduan, program-program latihan dan penempatan, pelaksanaan kursus jangka pendek dan subsidi latihan akan turut disediakan di institusi-institusi terpilih.

Kebolehpasaran graduan perlu usaha kolektif

Dalam memangkin kebolehpasaran graduan, usaha sama daripada semua pemain utama dalam institusi pendidikan amat dituntut termasuklah pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), institut, tenaga pengajar dan pelajar.

Pihak institusi pendidikan perlu meluaskan horizon dan skop daripada memenuhi keperluan akademik semata-mata kepada mengukuhkan kesediaan dan daya saing bakal graduan untuk memenuhi keperluan industri dengan kemahiran insaniah (soft skills) dan kemahiran teknikal (hard skills).

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan kepada kesejahteraan fizikal, rohani, jasmani dan emosi harus dijadikan panduan dan dipadankan dengan matlamat pendidikan Unesco abad ke-21 iaitu belajar untuk mengenali, mempelajari, menjadi dan hidup bersama demi melahirkan masa hadapan yang lestari.

Sebagai contoh, universiti dapat menawarkan program kursus jangka masa pendek berkaitan industri kepada mahasiswa pada setiap semester pendek atau selepas tamat pengajian untuk meningkatkan kemahiran dengan kadar yuran yang berpatutan.

Di akhir kursus, mahasiswa akan menduduki peperiksaan dan diberikan sijil tamat kursus.

Antara kursus bersijil yang dapat dijalankan seperti kemahiran interpersonal, bahasa asing, kepimpinan dan pengurusan, pengurusan makanan, metodologi penyelidikan dan sebagainya.

Mengambil contoh daripada Universiti Islam Antarabangsa, kursus-kursus yang dinyatakan ada ditawarkan dalam senarai subjek kokurikulum tetapi hanya terbatas kepada sistem kuliah dan peperiksaan.

Dalam situasi ini, pihak universiti boleh menaiktaraf kursus-kursus tersebut kepada kursus bersijil.

Pada era norma baharu ini, karnival kerjaya atas talian juga tidak mustahil untuk dijalankan oleh pihak KPT dan unit kaunseling dan kerjaya setiap universiti.

Terdapat banyak kursus jangka masa pendek yang ditawarkan secara atas talian dan percuma oleh institusi dalam negara mahupun universiti terkemuka dunia seperti Massachusetts Institute of Technology dan Harvard University melalui platform EdX dan Coursera.

Peluang ini adalah baik untuk dimanfaatkan oleh mahasiswa bagi menambahkan nilai pada resume mereka.

Melawan naratif graduan memilih

Pengalaman adalah sesuatu yang boleh dipelajari, diasah dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Dalam tempoh yang sukar ini, pihak majikan perlu mengubah persepsi dan mentaliti bahawa lepasan graduan universiti tidak cukup kemahiran dan pengalaman.

Mereka mungkin kurang berpengalaman tetapi mempunyai kemahiran dan idealisme yang setara malah lebih baik dan ke hadapan.

Berikutan ledakan ekonomi gig, ramai graduan memilih untuk menceburi bidang ini secara sambilan atau sepenuh masa sebagai penghantar makanan, jurugambar, editor video, penulis, konsultan dan sebagainya.

Memetik Laporan Pengesanan Graduan 2018 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 15.7 peratus graduan telah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan kadar kebolehpasaran melebihi 95 peratus ialah graduan dari Kolej Komuniti dan Politeknik manakala peratusan di Universiti Awam (UA) ialah 79.3 peratus.

Pengalaman graduan menjalankan pekerjaan terbuka (freelancing) dan mengikuti kursus peningkatan kemahiran wajar diberi perhatian oleh majikan dalam sesi pemilihan sebagai satu pengalaman, nilai tambah, dedikasi dan komitmen mereka dalam sesuatu pekerjaan.

Pada tahun 2018, sejumlah 67.8 peratus graduan masih mencari pekerjaan dan 10.8 peratus graduan bekerja sendiri.

Dalam laporan sama, kadar belum bekerja bagi graduan ijazah pertama dalam kumpulan pendapatan B40 mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 32.2 peratus bagi RM1,000 ke bawah dan 27.3 peratus bagi RM1,001-RM2,000.

Golongan ini wajar diberikan sokongan dan peluang untuk menjamin ekuiti dan kesaksamaan dalam pekerjaan tanpa mengabaikan merit dan kebolehan.

Pasca-Covid-19 bukanlah satu tempoh yang mudah, khususnya kepada rakyat Malaysia kerana negara dan dunia memerlukan tempoh yang agak panjang untuk pulih daripada krisis dunia yang lebih getir daripada peristiwa Great Depression pada 1930-an.

Bagi memberikan respons kepada artikel berkaitan mahasiswa perlu berfikir luar kotak dan fleksibel, naratif graduan tidak berkemahiran, mentah dan tidak berpengalaman mestilah dihapuskan. Sebuah struktur sosial akan berfungsi dengan efisien apabila kesemua institusi menyedari peranan mereka dan menjalankan usaha untuk masa hadapan BERSAMA yang lebih SEJAHTERA.


MOHAMAD IKA DANIAL merupakan ketua exco pendidikan, Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mahasiswa semester akhir ijazah Sains Politik dan pelatih penyelidik di Bahagian Penyelidikan, Parlimen Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *