Mencari Sisi Makna Hijrah

Satu  demi satu tahun hijrah bertukar namun penghayatan makna hijrah kurang meresap dalam diri kita. Mungkin bagi sesetengah ia hanyalah sambutan tahun baharu yang biasa. Didendangkan dengan cerita sirah Baginda Nabi berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah namun saban tahun ulang tahun sirah itu hanyalah sebuah kisah bukanlah penghayatan dan ibrah yang boleh diambil. Hijrah pada dasarnya adalah sebuah perkataan dengan makna “pindah” ataupun “bergerak” namun dari sisi lain yang lain ia ada sebuah makna yang lebih besar itu. Berubah dari sisi gelap ke sisi baik juga disebut hijrah, berubah gaya hidup juga disebut hijrah dan juga berubah dari satu sudut pandang dan perspektif juga satu hijrah. Hijrah itu satu perkataan yang luas kosa dan maknanya. Hijrah dari sisi kerohanian dan jasad adalah makna hijrah.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang berbunyi, “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam”. Memahami konteks hadis ini, kita faham bahawa hijrah itu bukanlah harus menunggu secara  bulanan mahupun tahunan namun penghijrahan itu harus dilakukan setiap hari. Itulah sifat orang yang berjaya yang mahukan perubahan yang lebih baik dari sebelumnya. Itulah teladan yang boleh diambil untuk kita. Berusahalah untuk berubah dengan niat yang betul serta jangan menangguhkannya. Ubah diri secara keseluruhan secara perlahan-lahan.

Hijrah bukan satu perubahan bersifat kebendaan semata namun aspek kerohanian juga harus ditekankan yang berlandaskan dengan syariat yang dibawa menerusi hadis dan Al-Quran. Kefahaman ilmu harus ditekankan dan dicari agar ia tidak salah serta menimbulkan syak wasangka malahan sehingga boleh adanya fitnah yang meruntuhkan integriti institusi keagamaan. Ramai dalam kita yang bercakap tentang apa yang mereka tidak ketahui. Kadang apa yang mereka tampilkan adalah kebodohan mereka bukan kebijaksanaan mereka. Hari ini institusi keagamaan dan badan profesional yang tumbang dek kerana adanya fitnah dan sebagainya. Inilah sikap yang tidak mencerminkan keindahan Islam itu sendiri.

Bila bercakap soal penghijrahan pasti orang akan bercakap soal niat, tekad dan azam. Berbalik kepada satu petikan hadis apabila Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat …”. Hadis ini menerangkan tentang bahawa setiap perilaku dan ibadah berbalik kepada niat seseorang. Jika seseorang itu berhijrah untuk dunia maka dunialah yang akan dia dapati dan jika seseorang itu berhijrah untuk akhirat maka akhiratlah dia akan dapati. Perlunya untuk kita berhijrah kehidupan kita untuk membaiki kehidupan kita ke arah lebih baik dari sebelumnya. 

Sebagai seorang Muslim andai melihat orang terdekat dalam proses penghijrahan, usahlah memperkecil usaha dan niat mereka dengan suara-suara sindiran di depan mahupun media sosial. Bantulah semampunya dengan beri sokongan moral dan jika berkemampuan, bantulah dia untuk mencari seorang pembimbing yang baik dan dipercayai. Mungkin dari doanya, kita akan turut serta dalam penghijrahan itu. 

Hari ini kita tertanya-tanya pada diri kita sama ada apa yang Islam ajarkan itu sudah meresap mahupun sebati dalam diri. Adakah cukup semata-mata ilmu yang ada ini ataupun kita lupa tentang adab dalam diri kita. Hari ini mungkin ramai yang ilmu namun mereka lupa tentang adab. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Thabarani yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah SWT menyukai perkara-perkara (akhlak-akhlak) yang tinggi dan mulia dan Allah SWT membenci perkara-perkara (akhlak-akhlak) yang keji”. Dari sini kita memahami bahawa untuk akhlak mahupun adab tersangat penting dalam kehidupan kita namun sesetengah dari kita meletakkan adab bukanlah suatu yang penting untuk mereka. Kadang tanpa segan-silu memaki, mencerca serta menghina orang lain demi menegakkan apa yang mereka bawa bak kata pepatah orang dulu yang berbunyi seperti menegakkan benang yang basah.

Selain itu, cara hidup Islam menunjukkan betapa pentingnya untuk kita memupuk nilai perpaduan dalam masyarakat kita. Hari ini kita dilihat terlalu terpecah dengan pelbagai sebab seperti politik, ideologi, rasisme dan banyak hal lagi. Tiba masanya untuk kita belajar dan meneladani dari sirah tentang penyatuan kaum Aus dan Khazraj. Hari ini adik-beradik bergaduh, sesama  jiran bergaduh malahan di tempat mulia seperti masjid pun bertengkar dengan imam sebab perbezaan pandangan. Nilai menghormati pada orang lain dan sikap keterbukaan dalam diri semakin terhapus. Ingatlah bahawa Islam mengajar untuk kita menghormati orang dan pandangan. Cukuplah kita bermasam muka dengan orang. Hulurkan salam tanda maaf dan rapatkan tali silaturahim. Hijrahlah dari persengketaan yang ada.

Tambahan lagi dalam Surah Al-Maidah ayat ketiga yang mafhumnya Allah menyebut bahawa Allah telah menyempurnakan agama dan nikmat-Nya dan Allah telah redha akan agama Islam. Kesempurnaan Islam kian pudar dengan adanya fahaman-fahaman yang berhaluan kiri seperti sekular dan LGBT. Bercakap tentang hak kemanusiaan yang mereka inginkan namun apakah hak dan ketaatan kepada Allah mereka tunaikan. Hijrah mengajar umat manusia khas umat Islam untuk duduk dan berfikir tentang segala ketaatan dan kesejahteraan supaya falsafah “amar makruf nahi mungkar ” dapat terlaksana. Hijrahlah diri dan orang sekeliling agar falsafah ini terlaksana dalam kalangan masyarakat. Bermulalah dengan diri dahulu untuk memperbaiki diri serta dalam pada yang sama mengajak orang lain juga.

Sebagai kesimpulan, hijrah itu sebuah proses untuk mengenal lagi Pencipta dan agama-Nya. Mungkin segala perit sebuah penghijrahan itu ada ganjaran dunia dan akhirat yang menanti. Bak kata pepatah lama Melayu “tak kenal maka tak cinta” maka penting menambah ilmu pengetahuan dunia dan juga akhirat untuk kita menambah rasa keimanan agar kemanisan itu dapat dirasai sewaktu melakukan ibadah wajib dan sunat. Semoga tahun ini menjadi tahun yang lebih baik untuk kita dengan peningkatan iman dan amalan itu.   

By: Ashraf Idzham

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *