Mahasiswa Bukan Lembu

Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan peribahasa, “seperti lembu dicucuk hidung” sebagai orang tidak bijak yang selalu menurut kemahuan orang. Namun, apakah kaitnya peribahasa ini dengan pergerakan mahasiswa di Malaysia pada hari ini?

Mahasiswa telah lama menjadi medium kesedaran pendidikan dan politik apatah lagi di Malaysia yang tercinta ini, sejak selepas merdeka lagi. Banyak peristiwa yang boleh menyokong kenyataan ini seperti manifesto mahasiswa yang memberi kesan kepada sokongan terhadap Parti Perikatan pada Pilihan Raya Umum 1969, kebangkitan mahasiswa 1971-1975 yang dipelopori oleh mahasiswa Universiti Malaya di Bangsar dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam. (Ketika itu di gelar sebagai Institut Teknologi MARA sehingga tahun 1999) apatahlagi berkenaan dasar-dasar yang berkait dengan marhaen miskin di Baling yang membawa kepada demonstrasi penduduk Baling di hadapan Datuk Musa Hitam, Menteri Perusahaan Utama ketika itu, demonstrasi membantah Operation Linebacker II, tindakan Amerika Syarikat mengebom Hanoi dan Haipong di Vietnam pada 1972 dan demonstrasi terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) di Dataran Merdeka pada April 2013. Pergerakan lantang mahasiswa ini juga dapat dilihat di peringkat global, contohnya seperti protes Perang Vietnam di Amerika Syarikat pada tahun 1960-an, Pemberontakan Soweto pada 1976 di Afrika Selatan, Protes Mahasiswa di Tiananmen 1989 di Beijing, Reformasi Indonesia 1998 dan juga demonstrasi di Hong Kong pada 2019. Contoh yang saya berikan ini menunjukkan bahawa suara mahasiswa amatlah kuat dan mampu untuk mengubah landskap politik sesebuah negara itu, dan bukanlah suara picisan yang boleh dipandang rendah dan diendah begitu sahaja.

Ramai juga pemimpin negara telah lahir daripada pergerakan lantang mahasiswa ini seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Dr. Ibrahim bin Ali dan Dato’ Aminudin bin Baki. Penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) oleh Dato’ Aminudin bin Baki, Dr Abdul Wahab bin Mohamed Ariff, Dr. Mohamed Noor Bin Marahakim, Datuk Abdullah Majid, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh yang merupakan pimpinan mahasiswa di Singapura, juga datang daripada kesedaran mereka akan kepentingan pendidikan anak Melayu ketika itu. Hal ini menunjukkan bahawa universiti dan mahasiswa memainkan peranan yang amat penting kepada kesedaran politik dan pendidikan di Malaysia, dan buah yang manis daripada hasil tuaian perjuangan mereka itu dapat kita lihat dan juga merasai nikmatnya pada hari ini.

Namun, satu realiti menyedihkan yang dapat kita lihat pada hari ini ialah terbelenggunya suara mahasiswa daripada menzahirkan pandangan tanpa diikat oleh pengaruh politik nasional dan persepsi kolot yang membinasakan kebebasan ini. Mahasiswa sepatutnya berfikir kritis, bebas dan bijak tanpa dipengaruhi mana-mana anasir luar yang pastinya mengubah corak pemikiran mereka. Apa gunanya mencapai menara gading tetapi pemikiran, pendapat dan suara kita tidak dapat dizahirkan? Bukankah tujuan kita dihantar untuk belajar tinggi ialah supaya hasil pembelajaran yang diperolehi dapat kita sumbangkan kembali masyarakat dengan idea yang bernas dan bermanfaat? Sekiranya pengaruh luar ini merencatkan idea bernas daripada mahasiswa bakal pimpinan negara, bukankah negara akan mendapat kesan buruk pada masa hadapan? Ini persoalan yang saya timbulkan kepada para mahasiswa Malaysia pada hari ini. Kita sebagai mahasiswa sepatutnya bertindak sebagai golongan bijak pandai yang akan memberi kesan baik kepada negara hasil daripada idea yang kritis tanpa diikat dengan mana-mana pengaruh politik nasional. Kebebasan ini perlu diguna baik, dan kita perlu berani dan lantang untuk bersuara walaupun ia menentang pandangan politik seperjuangan, dengan niat untuk kebaikan negara. Mahasiswa yang takut untuk bersuara kerana dibelenggu oleh pengaruh sebegini tidak ada bezanya seperti negara yang dijajah. Kita sudah merdeka selama 64 tahun, jadi minda kita juga perlu merdeka kerana pandangan dan idea kita niatnya untuk kemajuan negara. Mahasiswa yang masih muda, bertenaga dan bersemangat perlu mengguna baik kudrat yang diberikan Allah untuk menyumbangkan kembali kepada masyarakat dan Malaysia yang dicintai ini. Apatah lagi mahasiswa UIAM, yang terdedah dengan pemikiran dan pergaulan dengan rakan-rakan antarabangsa yang membuka minda, perlu sentiasa kehadapan, berani dan tidak takut untuk menyuarakan pendapat dan pandangan ini.

Kesimpulannya, sedarlah rakan-rakan mahasiswa sekalian, suara kita ini suara hebat dan keramat. Marilah kita menjadi lebih berani, bebas dan kritis dalam menyuarakan pandangan dan idea tanpa dibelenggu dengan mana-mana anasir yang buruk lagi merosakkan, seperti bait-bait lirik di dalam lagu Belenggu Irama nyanyian Wings, “Perintahmu adalah belenggu, menggenggamku dengan kuasamu, membuat aku menjadi layu”. Gunalah kelebihan yang ada dengan baik demi kebaikan diri, agama, bangsa dan negara yang tercinta.

Akhir sekali, ingat! Kita mahasiswa, bukan lembu. Lembu yang dicucuk hidungnya.

By: Mohd Wafiyuddin Al-Awal bin Musa, Yang Di-Pertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) UIAM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *