Lompat Parti Dan Hak Asasi Orang Politik

Politik adalah tempat manusia boleh berubah 180 darjah. Banyak “keajaiban” yang boleh diperhatikan dalam tindak tanduk seorang pemain politik. Salah satu “keajaiban” tersebut adalah acara melompat parti. Bayangkan, seseorang yang kita cerca dan kutuk bertahun tahun, akhirnya menjadi sahabat dalam satu kapal. Betapa “ajaibnya” seseorang ahli politik itu dapat melupakan segala cacian yang diterima demi sebuah perikatan. Itulah orang politik. 

Pun begitu, seperti mana pokok yang tidak akan bergoyang tanpa angin, begitu juga dengan isu lompat parti ini. Ada justifikasi yang tertentu yang kita boleh lihat dalam tindakannya. Contohnya, dalam artikel “Politician Overboard: Jumping the Party Ship” yang dinukil oleh Sarah Miskin pada tahun 2003, ada beberapa sebab yang dibincangkan mengapa seseorang ahli Parlimen itu boleh melompat parti. Antaranya, insiden lompat parti ini mungkin boleh berlaku apabila adanya sesuatu masalah yang perlu diselesaikan dengan cepat. Misalnya, pada tahun 1931 dan 1936, berlakunya banyak insiden lompat parti di Australia kerana mereka harus menubuhkan kerajaan dengan segera bagi menyediakan polisi yang efisien untuk berhadapan dengan krisis ekonomi yang digelar “The Great Depression” pada ketika itu. 

Seterusnya, insiden lompat parti ini boleh berlaku apabila adanya aspirasi parti politik yang sudah berubah. Kebanyakan orang politik akan memberi alasan bahawa bukan prinsipnya yang berubah, akan tetapi prinsip dan aspirasi parti itu sendiri yang sudah jauh daripada gagasan asalnya. Contohnya, pada tahun 2016, Dato’ Seri Shafie Apdal yang mengumumkan untuk keluar dari parti UMNO menyatakan alasannya adalah kerana perjuangan parti itu sudah tidak sama dengan dahulu. Insiden lompat parti ini juga mudah berlaku apabila ada kepentingan peribadi masing-masing. Contohnya, di United Kingdom, pada tahun 1999, seorang ahli politik yang bernama Shaun Woodward telah melompat parti daripada parti Konservatif ke Parti Buruh. Pemimpin parti Konservatif ketika itu menyatakan bahawa Woodward telah disogok oleh Parti Buruh dengan jawatan menteri. Kenyataan ini walaubagaimanapun dinafikan sendiri oleh Woodward. Pun begitu, kepentingan peribadi ini boleh dilihat apabila Woodward diberikan kawasan yang selamat untuk bertanding pada pilihan raya 2001. Ini adalah sedikit sebab mengapa seseorang ahli politik itu boleh melompat parti.

Kita beranjak sedikit ke isu yang lebih penting untuk dibincang, iaitu apakah status tindakan lompat parti dari sudut undang-undang di Malaysia. Dalam artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan, ada peruntukan yang menyatakan bahawa semua rakyat mempunyai hak untuk berpersatuan. Dalam erti kata yang mudah, semua rakyat bebas untuk menubuh, atau menyertai mana – mana parti atau persatuan. Namun, peruntukan ini perlu dibaca sekali dengan artikel 10(2)(c). Dalam peruntukan ini pula, ia telah menyatakan bahawa Parlimen boleh untuk menggubal apa-apa undang-undang untuk menghadkan kebebasan berpersatuan ini andai kebebasan ini boleh menggugat kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral. 

Maka, secara mudahnya, kita boleh katakan bahawa tindakan melompat parti ini tidak bertentangan dengan undang-undang di Malaysia kerana ianya adalah kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan juga kerana tiada undang – undang yang digubal khusus oleh Parlimen dalam isu ini. 

Walaubagaimanapun, perkara ini menjadi perbalahan apabila ada Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah menggubal undang-undang khusus untuk menghalang insiden lompat parti. Contohnya, pada tahun 2012, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan Enakmen Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2012 yang menyatakan bahawa mana-mana ADUN dipilih sebagai calon sesebuah parti politik perlu mengosongkan kerusinya, jika melepaskan, dilucutkan keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi ahli parti politik atas apa-apa alasan. Dalam erti kata yang mudah, mana-mana ADUN Pulau Pinang yang melompat parti perlu mengosongkan kerusinya. 

Untuk memahami status enakmen ini, kita boleh melihat kepada kes Nordin bin Salleh & Anor v Dewan Undangan Negeri Kelantan & Ors [1992] 1 MLJ 343. Dalam kes ini, Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan satu pindaan enakmen pada 25 April 1991 yang menyatakan bahawa mana-mana ADUN yang keluar atau dipecat daripada partinya, akan dicabut keahliannya sebagai ADUN dan perlu untuk mengosongkan kerusi ADUN tersebut. Plaintif dalam kes ini telah memohon untuk pindaan ini diisytiharkan sebagai tidak sah atas sebab ianya telah bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan. 

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim YAA Tun Dato’ Seri Mohd Eusoff bin Chin telah membenarkan permohonan ini diterima atas sebab pindaan undang-undang yang berkaitan dengan kebebasan berpersatuan hanya boleh dilaksanakan oleh Parlimen dan bukan DUN. Ini jelas dapat dilihat dalam artikel 10(2)(c). Maka, secara tidak langsung, pindaan ini sudah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan ianya tidak sah berpandukan artikel 4 yang menyatakan mana – mana undang-undang yang tidak sehaluan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah. Selain itu, enakmen ini juga telah jelas menyekat hak asasi plaintif dan ianya adalah jelas tidak berperlembagaan. 

Oleh itu, secara teorinya, pindaan enakmen yang dilaksanakan oleh DUN Pulau Pinang berkemungkinan tidak sah dari sudut undang-undang atas sebab ianya sudah tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Pun begitu, kita tidak boleh untuk menyatakan bahawa ianya adalah 100 peratus tidak sah kerana pindaan ini tidak pernah dicabar di mahkamah. Dalam hal ini, bukan tempat kita untuk menentukan sama ada ianya sah atau tidak.

Walaupun Malaysia belum mempunyai undang-undang yang khusus dalam isu lompat parti, sudah ada beberapa negara yang mengorak langkah awal dalam menggubal undang-undang berkenaan melompat parti. Misalnya, negara Papua New Guinea. Negara ini sudah merdeka sejak tahun 1975. Malangnya, dari tahun 1975 sehingga tahun 2003, belum pernah ada kerajaan yang mampu untuk mentadbir cukup sehingga satu penggal. Perkara ini berlaku disebabkan insiden lompat parti yang kerap berlaku di negara itu. Maka, pada tahun 2002, negara tersebut telah menguatkuasakan satu undang-undang yang dipanggil “Integrity of Political Parties and Candidates Law” untuk menghalang daripada berlakunya banyak insiden lompat parti. 

Kita juga boleh melihat undang-undang yang digubal oleh New Zealand yang dikenali sebagai Electoral (Integrity) Amendment Act 2001. Undang-undang ini telah berkuatkuasa sejak 22 Disember 2001. Pun begitu, undang-undang sedemikian dilihat gagal dalam membendung isu lompat parti. Hal ini kerana hanya beberapa bulan selepas undang-undang ini berkuat kuasa, sudah ada ahli Parlimen yang melompat parti. Atas sebab ini, undang-undang ini dilihat gagal dan kegagalan ini dijadikan alasan oleh Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark untuk melaksanakan pilihan raya 2002, 4 bulan awal daripada tarikh asal. Ini adalah serba sedikit contoh yang membuktikan bagaimana satu undang-undang itu boleh gagal dalam menyelesaikan satu masalah. 

Kegagalan ini membawa kita kepada satu konklusi bahawa sehebat atau se-gah manapun undang-undang itu, ianya tidak akan mampu menyelesaikan masalah andai masih ada tangan-tangan yang asyik memikirkan kepentingan peribadi masing-masing. Golongan celaka ini hanya memikirkan perut mereka berbanding perit pada perut-perut rakyat yang kelaparan. Atas sebab itu, ianya adalah sangat penting untuk semua rakyat benar-benar memilih wakil rakyat yang berprinsip dan amanah. Hanya calon yang berwibawa yang harus dipilih. Mana-mana calon yang pernah mempunyai rekod integriti yang buruk perlu dipulaukan. Jangan mudah termakan dengan janji orang politik. Bak kata Sasterawan Indonesia, Dr Zawawi Imron di hadapan Presiden Jokowi, “Dubur ayam yang mengeluarkan telur lebih mulia dari mulut intelektual yang hanya menjanjikan telur”.

By: Abu Dzar Mohd Annuar

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *