KPT perlu lebih proaktif – Kesatuan mahasiswa

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu bersikap proaktif dalam memberikan maklum balas dan tindakan dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap mahasiswa.

Dalam kenyataan bersama, Kesatuan Mahasiswa SeMalaysia meluahkan rasa kecewa dan kesal di atas pengumuman saat akhir yang menimbulkan kegusaran dan kekeliruan dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPUIAM), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM).

“Berhubung isu penangguhan pendaftaran secara fizikal, KPT perlu menangani isu kos tambang mahasiswa yang sudah sampai ke institusi pengajian tinggi (IPT) mereka, namun diarahkan untuk pulang disebabkan kenyataan saat akhir oleh KPT.

“Ada juga sesetengah kampus yang akan menjalankan pembelajaran secara mod campuran semester dan mahasiswa sudah menyelesaikan urusan pembayaran rumah sewa tetapi terjejas teruk akibat pengumuman ini.

“Kami menuntut supaya diwujudkan pampasan kepada semua mahasiswa yang terkesan ini,” katanya.

KPT turut dicadang bekerjasama dengan agensi kerajaan relevan bagi memperkasakan insiatif untuk mengatasi jurang digital dalam kalangan mahasiswa dan seterusnya meningkatkan akses serta kualiti pendidikan di era pembelajaran dalam talian ini.

Sebagai contoh, kerajaan boleh memperkenalkan bantuan pembelian peranti elektronik yang berfungsi sama seperti skim pinjaman buku teks atau peranti boleh diedarkan secara percuma kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

“Dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), kualiti capaian internet perlu ditingkatkan lagi di seluruh negara supaya tidak ada diskriminasi akses kepada pembelajaran mengikut keberadaan mahasiswa mahu pun di bandar atau luar bandar.

“KPT juga wajar bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi utama di Malaysia untuk mewujudkan pakej buat pelajar, seperti data mudah alih percuma atau berkos rendah untuk menyokong penggunaan internet yang sangat berat,” menurut kenyataan itu.

Justeru, kesatuan itu berpendirian bahawa nilai autonomi mahasiswa sebagai pemegang taruh terbesar di IPT perlu terus diangkat.

“Oleh itu, setiap proses membuat keputusan yang berkaitan dengan pergerakan mahasiswa terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) perlu membabitkan suara akar umbi mahasiswa, sekurang-kurangnya wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK),” menurut kenyataan itu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *