Islam sebagai jalan hidup

Islam ialah agama yang mengajar seluruh umat manusia tentang cara hidup yang meliputi seluruh aspek tidak kira perkara sekecil kuantum sehingga perkara sebesar alam semesta. Ajaran Islam ini telah dibawa, diajar oleh para nabi terdahulu bermula dari nabi Adam as. sehinggalah kekasih Allah iaitu nabi Muhammad saw. Risalah Islam ini yang diperjuangkan oleh para nabi pada zaman mereka telah bertahan selama berabad dan sehingga kini Islam diamalkan oleh 24.9 peratus daripada penduduk dunia atau jumlahnya sebanyak 1.9 billion. Matlamat utama Islam adalah untuk menegakkan kalimah tauhid serta beramal dengannya.
Berbicara tentang Islam sebagai jalan hidup, sudah jelas bahawa ajaran Islam itu amat lengkap jika diamati dengan terperinci. Analogi saya untuk perkataan ‘jalan’ itu, jalan boleh didefinisikan sebagai kaedah yang perlu digunakan untuk tiba ke sesuatu destinasi. Dalam konteks ajaran Islam pula, ajaran Islam ialah kaedah yang paling sesuai untuk manusia agar
dapat mencapai destinasi abadi selepas mati iaitu syurga yang didambakan oleh umat manusia. Untuk mencapai dambaan hati tersebut, reda Allah hendaklah diperoleh. Kendatipun begitu, reda Allah tidak boleh digapai dengan mudah, ia hendaklah diusahakan oleh umat manusia dengan cara melakukan amar makruf dan meninggalkan nahi munkar. Jelaslah bahawa, hakikat matlamat sebenar manusia sebagai hamba Allah adalah untuk mendapatkan keredaan Allah dan cara untuk memperolehinya adalah dengan mendalami dan mempraktikkan ajaran Islam.
Sebagai hamba yang kerdil ini, sudah tentu kita perlukan panduan untuk menjalani kehidupan seharian berteraskan ajaran Islam. Sedangkan hendak memasang rak besi yang baru dibeli di IKEA juga manusia perlukan manual sebagai panduan pemasangan, inikan pula hendak menempuh kehidupan yang luas ini. Jadi, Allah telah menurunkan al-Quran kepada nabi Muhammad untuk digunakan sebagai pedoman bukan sahaja pada zaman nabi bahkan sesuai untuk sepanjang zaman. Kandungan dan nilai yang terkandung dalam al-Quran hendaklah dipelajari dan diamalkan kerana kandungan tersebut telah merangkumi semua aspek termasuk politik, sosial dan ekonomi. Ia adalah panduan yang lengkap untuk manusia. Bukan sahaja untuk dibaca dan dihafal, al-Quran hendaklah difahami maksudnya agar semua isi tersurat dan tersirat dapat diterjemah erti dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Tambahan pula, perkataan, perbuatan serta takrir iaitu hadis nabi Muhammad juga menjadi rujukan oleh segenap manusia selepas al-Quran. Rasulullah pernah mengingatkan kita dengan sabda baginda, “Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, kalian tidak akan tersesat selagimana berpegang teguh padanya iaitu al-Quran dan sunahku”. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kedua-dua sumber ini telah menjadi teras utama kepada umat Islam iaitu khalifah di muka bumi ini untuk mentadbir dunia dengan adil dan harmoni.
Islam sebagai jalan hidup merangkumi politik, sosial dan ekonomi. Tiga jalan yang membawa ke suatu destinasi yang sama. Tiga jalan utama yang harus dijaga dan dilalui berpandukan ajaran Islam agar tidak bercampur dengan kancah maksiat. Dalam era pandemik ini, berapa ramai yang sudah terjerumus dengan ekonomi haram samada secara langsung atau tidak langsung. Ramai anak muda terikut dengan pengaruh barat yang melabur di platform di mana pergerakan wang itu agak kurang jelas arahnya. Skim pelaburan yang tumbuh ibarat cendawan tumbuh selepas hujan ini telah berjaya menarik minat pelabur kecil dengan iklan yang agak keterlaluan. Pemuda sanggup melabur walaupun ada skim pelaburan yang amat jelas tidak patuh syariah semata-mata untuk mengaut keuntungan. Ada juga skim pelaburan yang menggunakan duit pelaburan untuk membeli saham kilang arak dan mereka pandai untuk menutup kegiatan mereka supaya tidak dihidu oleh pelabur. Ekonomi moden ini amatlah ditegah kerana tidak patuh Syariah. Hal ini terjadi kerana lemahnya kefahaman dan pengamalan mereka terhadap al-Quran. Nampaklah bahawa ada yang sanggup meminggirkan al-Quran semata-mata untuk habuan dunia. Sebaliknya, kita haruslah menggunakan al-Quran
sebagai garis panduan untuk tadbir urus ekonomi kita agar wang yang diperolehi itu diredai oleh Allah. Rezeki yang halal itu akan melahirkan insan yang diberkati dan dirahmati hidupnya. Kita mestilah memakan atau mencari rezeki yang baik serta halal melalui bekerja atau berusaha dengan cara yang diberkati.
Akhir sekali, ingatlah Islam itu bukanlah sekadar solat 5 waktu sehari, tetapi pandanglah Islam itu sebagai satu jalan hidup. Memahami Islam itu hendaklah dilihat pada sumbernya iaitu al Quran dan Sunnah nabi. Islam melalui dua sumber telah menjelaskan idea yang begitu jelas dari pelbagai perspektif yang merangkumi tatacara kehidupan seharian manusia.

By: Muhd Adham

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *