Emas Yang Hilang

Muslim tergenggam belenggu kafir,

Akhirat luput dunia tercicir,

Budaya jahil luas membanjir,

Banyak yang karam tiada tertaksir.

Barus dan Singkel, Pasai dan Ranir,

Silam ditelan masa nan mungkir,

Lupa jawaban dihafal mahir,

Bagi menyangkal Mungkar dan Nakir.

(Syed Muhammad Naquib al-Attas)

Ruba’i di atas telah dikarang oleh ilmuwan ulung tanah air iaitu Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam memperihalkan keadaan kaum Muslimin terutamanya di zaman ini. Sedar atau tidak, telah banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupan seharian kaum Muslimin. Daripada sistem pengajian, politik, ekonomi mahupun pembangunan. Perkembangan ini turut selari dengan tuntutan zaman yang berevolusi menggapai kemajuan demi kesejahteraan. Sungguhpun begitu, pembangunan yang dikecapi ini telah semakin lama semakin menjadikan kaum Muslimin bertindak seperti robot. Mereka seolah-olah hanya sekadar kelongsong luar yang berupa manusia namun dalamnya berisi cip-cip dan wayar-wayar yang mengawal mereka. Kaum Muslimin hari ini juga kelihatannya seperti sedang dikawal oleh sesuatu yang bukan daripada keinginan mereka sendiri. Amatlah menyedihkan apabila mereka sedikit demi sedikit hilang kemanusiaan ke atas diri mereka. Di manakah salah dan silapnya? Adakah salahnya pada pendidikan yang mereka terima dari bangku sekolah? Atau adakah tuntutan dan tekanan masyarakat telah mengubah mereka menjadi sedemikian? 

Ketahuilah, bahawa segala yang telah berlaku pada kaum Muslimin hari ini adalah berpangkal punca daripada kaum Muslimin itu sendiri. semenjak seruan globalisasi dan revolusi industri berkumandang dari Barat, seruan itu juga turut sampai kepada negara-negara kaum Muslimin. Melihat kepada keperluan untuk kaum Muslimin turut berdaya saing bersama-sama berjalan beriringan dengan negara-negara Barat. Masakan tidak kita berasa terancam melihat negara yang bukan Islam jauh lebih maju berbanding negara-negara Islam sendiri. Di manakah maruah Islam yang kita sanjung jika kita tidak maju seperti mereka. Itu lah yang kita terfikir ketika seruan-seruan ini berkumandang. Lalu seruan ini disambut dengan gilang-gemilang tanpa berfikir panjang. Akan tetapi dalam menyahut seruan pemodenan ini, kaum Muslimin telah secara tidak langsung melakukan kesilapan yang boleh membawa bencana besar kepada mereka sendiri di masa hadapan. Masalah-masalah yang dihadapi bukanlah masalah yang senang diatasi, bahkan masalah-masalah ini memerlukan suatu solusi tuntas yang mencabut masalah-masalah ini terus dari akarnya. Salah satu yang masalah yang sedang kita hadapi adalah krisis pandangan alam. Terma ini agak janggal untuk dibicarakan kerana amat jarang sekali kita mendengarnya. Di zaman awal perkembangan Islam, para ilmuwan tidak mengkhususkan sebarang kajian atau kitab yang memerihalkan soal pandangan alam. Hal ini kerana, pandangan alam pada ketika itu sudah sedia tertanam dalam minda kaum Muslimin. Mereka sudah sedia mengerti bagaimana untuk memandang alam ini melalui lensa Islam. Mereka tahu bahawa mereka berasal dari mana, sedang berada di mana dan akan menuju ke mana. Mereka juga sedar tujuan mereka berada di bumi. Maka dengan sebab itu, matlamat, visi dan misi mereka sudah jelas. Seandainya kebaikan menyapa mereka, mereka akan bersyukur. Sebaliknya jika keburukan menyentak mereka, mereka akan bersabar. Mengapa begitu? Kerana mereka sudah tahu bahawa tempat yang mereka tinggal ini hanyalah sementara dan mereka akan menuju ke negeri yang yang kekal abadi. Lantas hidup mereka di dunia ini diisi dengan kebaikan yang sebanyaknya dan mereka menjauhkan keburukan dan kejahatan seboleh mungkin. Mereka tidak bertuhankan kepada perkara-perkara material dan mereka tahu had mereka dalam mengejar hal-hal material. Cukup sekadar ia mampu menjadi bekal buat kehidupan mereka di dunia dan saham buat mereka di akhirat. Maka mereka tidak terkejar-kejar mencari kekayaan. Jika mereka mencari kekayaan, kekayaan itu bukan untuk diri mereka. Hasil daripada pandangan alam yang benar, kemuncaknya adalah mereka menemui kebenaran dan kebenaran itu membawa mereka kepada kebahagiaan. Adakah ini bermakna mereka tidak mengalami tekanan hidup seperti yang dihadapi oleh masyarakat hari ini? Sudah tentu tidak! Mereka tetap berhadapan dengan cabaran dan tekanan yang tersendiri. Namun mereka tahu jalan penyelesaiannya. Salah satunya adalah mereka semakin mendekatkan diri kepada Tuhan Rabb al-Jalil. Hari ini, adalah kelompok manusia yang mengatakan tekanan hidup tiada kaitan dengan agama. Ia benar dan ia juga salah. Apabila mengatakan masalah tekanan, ia berkait rapat dengan perkara-perkara yang tidak terlihat. Ia melibatkan emosi dan jiwa. Kedua-duanya adalah perkara ghaib yang tidak terlihat. Dan yang memiliki kunci kepada yang ghaib adalah Tuhan yang Maha Berkuasa. Oleh sebab itu, tidak wajar mengatakan tekanan hidup tiada kaitan dengan agama dan pengalaman. Kedua-duanya saling berkait. Dan solusinya memerlukan sentuhan rohani dan jasmani. 

Berlanjutan daripada itu, dapat juga dilihat bahawa kaum Muslimin hari ini semakin maju dalam menanggapi ilmu dan pembangunan. Perkembangan ini perlu dilihat secara kritis kerana kita sedar gelombang ini juga berakar punca daripada tamadun Barat. Dalam menanggapi ilmu di dalam Islam, kita tahu kewujudan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Dari kecil kita dipupuk untuk menguasai ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Namun segalanya berhenti sehingga kita mencapai pendidikan tahap tertiari di mana ilmu fardhu ain tidak lagi diberi penekanan atas alasan segalanya sudah selesai di pendidikan peringkat sekunder. Tanggapan ini amatlah salah kerana kedua-dua ilmu itu bersifat dinamik. Semakin tinggi peringkat pendidikan, semakin tinggi laras tahap yang perlu dicapai. Dan yang lebih teruk, telah berlaku dikotomi yang amat dahsyat terhadap kedua-dua ilmu ini di mana bidang fardhu ain diasingkan daripada bidang fardhu kifayah. Kesan daripada ini, maka berlakulah krisis dalam jiwa kaum Muslimin di mana mereka yang menguasai ilmu fardhu ain akan ketinggalan dalam ilmu fardhu kifayah dan mereka yang menguasai ilmu fardhu kifayah akan ketinggalan dalam ilmu fardhu ain. Sedangkan, seorang Muslim itu harus dilengkapi dengan kedua-dua ilmu ini dan kedua-duanya perlulah bersifat dinamik sesuai dengan tahap pendidikan mereka. Apakah cara-cara berwudhu masih diajar kepada mereka yang berada di universiti? Tidak. Pada peringkat universiti, mereka sewajarnya sudah diajar bagaimana berinteraksi dengan perkara bersifat usul bahkan lebih tinggi daripada itu. Inilah yang telah diajar oleh Islam zaman-berzaman. Maka janganlah pelik seandainya generasi terdahulu itu lebih cerdik dan menguasai pelbagai bidang berbanding kita di zaman ini. Kerana mereka telah dibentuk oleh suatu sistem pendidikan yang menyeluruh yang terkandung di dalamnya kedua-dua ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah yang bersifat dinamik sesuai dengan umur dan peringkat pendidikan mereka. Lebih utama, pendidikan mereka bermatlamat untuk melahirkan insan yang baik kerana itu adalah seruan jauh lebih utama dalam Islam. Dengan kehidupan di zaman moden yang serba mengejar KPI dan keperluan industri, sukar untuk melihat sistem pendidikan yang benar-benar melahirkan manusia yang baik. Baik dalam erti kata memahami benar-benar peranan menjadi seorang manusia mengatasi peranan menjadi seorang warganegara yang baik. Di akhirnya, matlamat mencapai graduan berkebolehpasaran yang tinggi  telah mencapah daripada matlamat sebuah pendidikan yang sebenar. Tidaklah bermakna melahirkan graduan berkebolehpasaran tinggi itu tidak penting, tetapi keutamaan itu perlukan menjurus terlebih dahulu kepada melahirkan insan-insan yang baik dan adabi. 

Begitu juga dalam menanggapi faham pembangunan. Islam secara hakikinya tidaklah menolak pembangunan. Bahkan ia amat disambut baik kerana pembangunan akan membawa kepada kesejahteraan. Akan tetapi, benarkah laungan pembangunan yang dilaungkan hari ini membawa kepada kesejahteraan? Jawapannya adalah tidak. Islam telah menggariskan had-had tertentu dalam mengecapi pembangunan di mana pembangunan itu perlulah bersifat tidak mendatangkan mudarat kepada manusia dan alam. Adakah pembangunan hari ini menepati garis panduan ini? Maka tidak hairanlah berlaku segala macam kerosakan di atas muka bumi ini. Pembangunan juga telah mendatangkan mudarat terhadap manusia itu sendiri. ramai yang hilang rumah tempat berteduh.  Hilang tempat berkasih sayang, hilang tanah pusaka dan tanah adat. Adakah ini yang diajar oleh Islam? Apabila pembangunan dikejar tanpa batasan, maka batasan yang akan menghentikan pembangunan ini adalah alam sendiri. Bencana alam yang melanda hari ini adalah hasil daripada pembangunan yang tidak terbatas oleh kelompok-kelompok tertentu. Islam telah mengemukakan panduan yang amat cantik dan lengkap. Bahkan sejahtera buat manusia dan alam. Amatlah rugi bagi seorang Muslim meninggalkan garis panduan ini sedangkan ia amat baik buat mereka.

Berdasarkan perbincangan di atas, bolehlah dikatakan bahawa sesungguhnya kaum Muslimin hari ini berada dalam situasi “hidup segan mati tak mahu”. Kita sudah hilang segalanya. Kita sudah kehilangan dunia, namun kita tidak bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan akhirat. Ayuhlah kita kembali menyoal diri kita sejenak, di kala segala macam kerenah yang melanda dunia, adakah kita masih lagi melakukan tazkiyah al-nafs dan bertasawuf menyucikan jiwa? Adakah kita masih lagi membaca al-Quran dan mengamalkannya? Adakah kita masih lagi ikhlas dalam menuntut ilmu dengan menjadi yang terbaik dalam bidang yang kita ceburi? Cukuplah diri yang mengetahui keadaannya. Emas itu mahal nilainya. Walaupun sekelumit, ia tetap dikejar mereka yang mengetahui nilainya. Buat mereka yang tidak mengetahui nilainya, maka ia dibuang dek rupanya yang tidak bersinar. Kita sudah punya “emas” tanpa perlu dicari. Hanya kita yang tidak mampu melihat dan menghargai “emas” itu. Jika tidak dipelihara dan dijaga, maka hilanglah ia. Lalu hilanglah nilai kita. apa yang kita perlu hanya penjagaan dan teknik yang betul untuk menjaganya. Seandainya kita dapat melakukannya, maka terpeliharalah “emas” itu untuk tempoh masa yang lama. Emas itu adalah agama kita. Ia tidaklah hilang di mata mereka yang sedar, ia hanya hilang di mata mereka yang tidak tahu menghargainya. Telah berkata Ismail Raji al-Faruqi:

“Of  Muslim scientist, the elite who know better are there, and in abundance. What is needed at this time in history is the spark to ignite the will of the ummah into motion.”

By: Muhammad Akmal

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *