Menelusuri agenda SDG2030 dan pembelajaran dalam talian

Wabak Covid-19 membawa kita ke satu fasa yang baru apabila persekitaran kita berubah sedikit demi sedikit. Masyarakat pun menghadapi kebiasaan baru dalam kehidupan harian dan pekerjaan.

Menurut Dr Anthony Fauci, Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit AS yang juga anggota jawatankuasa bertindak Covid-19 negara itu, masa selama setahun diperlukan untuk vaksin bagi virus ini disediakan.

Ini bermakna sepanjang proses tersebut, dunia perlu mengamalkan etika kebersihan yang tinggi dan penjarakan sosial agar virus berkenaan ini tidak merebak.

Fauci turut menjangkakan pengamalan penjarakan sosial perlu dikekalkan sehingga 2022. Dengan keterbatasan itu, universiti dan mahasiswa perlu mencari ‘talian hayat’ untuk memenuhi kelompongan ruang pembelajaran nanti.

Ia membawa kepada neraca baru dalam sistem yang dijalankan oleh IPT yang sebelum ini hanya bergantung kepada pembelajaran di dalam kelas.

Beberapa IPT awam seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Institut Teknologi Mara sudah mula menyahut saranan KPT untuk mengadakan kelas dalam talian sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Namun ada universiti yang mengambil keputusan untuk tidak melakukan kelas dalam talian dan mengambil keputusan untuk menganjakkan semester ke Jun. Misalnya Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Ada siswa tak mampu sertai

Mengikut statistik yang dikeluarkan bahagian akademik UIA, lebih 70 peratus mahasiswa tidak mampu melakukan PdP dalam talian dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Pelaksanaan ini mendapat pelbagai reaksi daripada ahli akademik, mahasiswa dan universiti yang harus kita fikirkan bersama.

Dunia hari ini sudah bercerita tentang sistem komunikasi 5G dengan kelajuan yang maksimum berbanding 4G. Malaysia juga tidak ketinggalan untuk mengkaji dan menawarkannya.

Namun kita perlu ketahui pada saat Malaysia mahu mengejar komunikasi 5G, masih ramai rakyat yang tidak dapat menggunakan internet atas faktor kemampuan dan kawasan yang terhad, bahkah ada lokasi yang tiada liputan langsung.

Perkara ini menjadi persoalan terbesar kepada pelaksanaan PdP dalam talian kerana perbezaan tahap akses internet sesebuah tempat, menjadikan segelintir mahasiswa tidak mampu menyertainya.

Tambahan pula dengan keadaan jurang ekonomi yang tidak stabil menjadi sebahagian faktor utama kepada keluarga berpendapatan rendah, sekali gus menjadikan mereka tidak mampu mendapatkan akses internet yang terbaik.

Turut menjadi kerisauan ialah keterbatasan mahasiswa kepada peranti teknologi yang sesuai. Ketiadaan komputer riba dan telefon bimbit yang kurang canggih menjadi faktor mereka untuk tidak menyertai kelas dalam talian.

Dapatan sebuah institut kajian di Malaysia menunjukkan, empat daripada lima keluarga B40 hanya mempunyai satu sahaja komputer riba untuk diguna dan dikongsikan bagi urusan pendidikan serta kehidupan mereka.

Kekurangan bahan bacaan dan akses pendidikan berteraskan teknologi menyebabkan mahasiswa B40 ketinggalan dalam pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah.

Berbeza dengan anak-anak kumpulan kelas ekonomi M40 dan T20 yang mempunyai kemudahan pendidikan dalam talian (platform digital) dan kelengkapan bahan bacaan sepanjang waktu PKP.

Perkasa pengetahuan masyarakat

Dalam soal akademik sudah tentu mahasiswa dan pensyarah mahukan keadaan kondusif dan ruang terbaik serta selesa ketika proses hubung-terima ilmu berlaku. Akan tetapi dengan keadaan yang sangat tidak menentu, tidak ada banyak pilihan yang kita ada.

Ramai pakar pendidikan percaya bahawa pembelajaran dalam talian adalah masa depan pendidikan.

Duta Khas Kedamaian dan Rekonsiliasi Unesco, pelakon Forest Whitaker, menekankan untuk mencapai objektif kesembilan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu “membina infrastruktur yang berdaya tahan, mempromosikan perindustrian inklusif dan lestari dan memupuk inovasi”, kita memerlukan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan.

Dari ibu kota ke perkampungan dan pedalaman, pendidikan membimbing pemikiran dan tingkah laku manusia.

Agenda 2030 SDG membawa kita semua menyedari tentang keperluan untuk memperkasakan pengetahuan masyarakat dengan memastikan setiap orang mempunyai peluang belajar dan berinteraksi secara seimbang, sekali gus mendesak kepada perlunya akses kepada ICT.

Kerajaan dan Universiti perlu memainkan peranan yang penting bagi menyahut pembangunan teknologi yang semakin meluas.

Polisi, insentif dan bantuan bagi memudahkan pelajar mendapat akses yang sama rata perlu difikirkan mulai sekarang.

IPT juga perlu membuka kajian terperinci tentang masa hadapan pembelajaran atas talian ini.

Saya berpendapat SDG kesembilan atau memang keseluruhan agenda 2030 tidak dapat dicapai tanpa pelaburan secara besar-besaran kepada komuniti, terutama kepada penduduk kampung dan pedalaman.

Juga jelas, kita tidak akan dapat mencapai sesuatu yang lestari jika memutuskan teknologi daripada pembelajaran, dan ini terutama berkaitan dengan objektif keempat SDG mengenai pendidikan berkualiti untuk semua.

Pendidikan berkualiti bukan sahaja mengenai akses yang sama rata, tetapi juga mengenai kemampuan pelajar untuk memahami sistem dunia secara holistik.

Kita harus ingat bahawa peranan pendidikan ialah untuk mempersiapkan masyarakat bagi menghadapi cabaran yang mendatang.

_________________________________________________________________________

AMIN MUBARAK ialah exco perhubungan awam dan advokasi Kesatuan Pelajar UIA.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *